Sabah kutip RM5.3 Bilion royalti kayu balak SFMLA sejak 1999

Safar ketika membacakan teks ucapan perasmian Hajiji.


KOTA KINABALU : Sabah memperoleh kutipan royalti berjumlah RM5.3 bilion daripada hasil tuaian balak di bawah pelaksanaan Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) bagi tempoh 1999 hingga 2023.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jumlah itu bersamaan purata pendapatan tahunan sebanyak RM213 juta kepada kerajaan negeri, manakala inisiatif SFMLA turut mewujudkan sekitar 40,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Tidak dapat dinafikan masih wujud segelintir pihak yang skeptikal terhadap pelaksanaan SFMLA. Namun kita tidak seharusnya terpengaruh dengan pandangan negatif yang tidak membawa sebarang manfaat kepada pembangunan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong.

Menurut Hajiji, Sabah merupakan perintis dalam pelaksanaan konsep Pengurusan Hutan Lestari (SFM) melalui kerjasama jangka panjang bersama sektor swasta sejak pengenalan SFMLA pada tahun 1997.

“Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada hasil ekonomi melalui industri pembalakan dan kayu-kayan, malah memainkan peranan penting dalam pemuliharaan alam sekitar serta peningkatan taraf hidup masyarakat setempat.

“Sehingga kini, sebanyak 1.4 juta hektar Hutan Simpan Kelas II telah dilesenkan kepada 43 pemegang konsesi SFMLA,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah sentiasa memantau kemajuan setiap pemegang konsesi secara tahunan dan sebanyak sembilan lesen telah dibatalkan sejak SFMLA diperkenalkan kerana kegagalan mematuhi syarat perjanjian.

“Malam ini, seramai 32 pemegang konsesi menerima Sijil Pematuhan atas pencapaian Pelan Kerja Tahunan 2024 mereka. Ini membuktikan komitmen tinggi majoriti konsesi terhadap pengurusan hutan secara lestari,” ujarnya.

Hajiji turut menyeru semua pihak yang terlibat agar mempergiatkan usaha penanaman hutan bagi mencapai sasaran 18,000 hektar ladang hutan setahun seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022–2036.

Beliau turut memaklumkan, Sabah menerima RM26.45 juta di bawah Fasa Pertama Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) selepas diiktiraf sebagai negeri ketiga tertinggi mewartakan kawasan perlindungan baharu bagi tempoh 2021 hingga 2023, selepas Johor dan Sarawak.

Setakat ini, Sabah telah mewartakan 2.012 juta hektar sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) iaitu 27.15 peratus daripada keluasan negeri. 

"Untuk mencapai sasaran 30 peratus TPA tahun ini, Sabah memerlukan tambahan kira-kira 211,000 hektar.

“Jabatan Perhutanan sedang menyediakan kertas cadangan bagi mewartakan beberapa kawasan perlindungan kritikal di bawah Seksyen 5A, Enakmen Hutan 1968. Saya menyokong sepenuhnya usaha ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pindaan terhadap Enakmen Hutan 1968 yang diluluskan pada April lalu memberi kuasa penuh kepada Kerajaan Negeri mengawal aktiviti perdagangan kredit karbon berasaskan hutan.

Jelas beliau, dengan pindaan itu, segala hasil daripada aktiviti karbon hutan akan disalurkan terus kepada negeri, selaras dengan syarat yang menjaga kepentingan rakyat.

“Pindaan ini juga membolehkan Ketua Konservator Hutan menutup sebahagian kawasan hutan simpan sensitif, mengeluarkan permit, mengenakan bayaran aktiviti tertentu serta meminda penalti kesalahan hutan.

“Ini sejajar dengan pindaan Akta Perhutanan Negara 2022 dan akan mengukuhkan lagi penguatkuasaan serta membanteras pencerobohan sumber hutan secara haram,” katanya.

Tambah beliau, sejak 2010, sebanyak 34 kes pencerobohan hutan tidak dapat didakwa kerana kawasan berkenaan tidak ditutup secara rasmi kepada akses awam.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama