PRN Sabah: 'Keangkuhan' pemimpin pusat bakal alih sokongan rakyat kepada parti tempatan - penganalisis


PETALING JAYA: Sikap 'angkuh' pemimpin parti di peringkat pusat yang bertindak sebagai pembuat keputusan secara mutlak dalam perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) berpotensi untuk menyebabkan pengundi beralih sokongan kepada parti tempatan Sabah.

Memetik sumber Free Malaysia Today, penganalisis polittik dan Felo Akademi Sains Malaysia, Jayum Jawan berkata pengundi negeri ini mungkin lebih cenderung menyokong parti tempatan berikutan tanggapan ada campur tangan pemimpin nasional Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN.

Katanya, PH dan BN kedua-duanya dilihat dan dianggap sebagai ‘orang luar’ dalam pandangan pengundi di Sabah.

Menurutnya, sikap pemimpin parti nasional di Kuala Lumpur yang mahu membuat keputusan akhir berhubung hala tuju bahagian parti mereka di Sabah tidak memberi gambaran baik kepada dua gabungan itu berikutan ia dilihat bersifat 'angkuh' dan tidak menghormati suara tempatan.

Disamping itu, katanya barisan pemimpin nasional dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) semakin dilihat dengan rasa curiga oleh rakyat Sabah, terutamanya apabila mereka kelihatan membuat keputusan bagi pihak rakyat Sabah.

Katanya, ada dalam kalangan ahli politik di Kuala Lumpur yang menunjukkan sikap 'angkuh' itu turut dianggap sebagai pencetus ketegangan kaum dan agama di Semenanjung.

“Ini tidak disenangi oleh rakyat Sabah. Di sini, rakyat hidup harmoni. Kristian, Islam, animisme; mereka tidak mahu keharmonian ini diganggu oleh orang luar.

“Sudah lama ada rasa tidak puas hati terhadap cara pemimpin Malaya menguruskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan isu-isu negeri lain,” katanya.

Semalam, media melaporkan BN dan PH sepakat untuk menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Menerusi kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pada 8 Mei lalu.

Menerusi mesyuarat terbabit, walaupun rundingan kerusi dan perbincangan dengan parti lain akan diuruskan oleh pimpinan PH dan BN Sabah namun sekretariat berkata keputusan akhir tetap akan dibuat oleh pimpinan nasional.

Susulan itu, Jayum berkata PH dan BN mungkin membuat kesilapan besar apabila bertindak untuk meminggirkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, GRS yang diketuai pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Hajiji Noor terdiri daripada lapan parti tempatan Sabah mempunyai tarikan kuat walaupun masih muda, terutamanya kerana tidak terikat dengan agenda politik dari Semenanjung.

“GRS berada dalam kedudukan yang baik sekarang. Mereka boleh bersaing dengan parti tempatan lain seperti Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk mendapat sokongan rakyat Sabah tanpa dilihat sebagai sebahagian daripada permainan politik Semenanjung.” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengutarakan pendapat GRS akan lebih baik jika bertanding secara solo dalam PRN akan datang berikutan parti tempatan dan berasaskan Sabah akan lebih diterima oleh pengundi tempatan.

"Ini merupakan kelebihan kuat dan mampu mencabar pihak lawan.” katanya.

Hajiji sebelum ini dilaporkan berkata pihajnya bersedia bertanding secara solo sekiranya PH dan BN membuat keputusan untuk bekerjasama dimuktamadkan.

Beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah itu turut berkata GRS sejak awal berpendirian bahawa parti Sabah harus menerajui kerajaan negeri kerana mereka lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat di negeri ini.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama