![]() |
Ahmad Zahid (Kanan). |
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebagai satu bentuk retorik sempit dan tidak wajar dibangkitkan dalam konteks semangat Persekutuan Malaysia.
Katanya, sikap terlalu menekankan elemen kenegerian atau ‘regionalisme’ boleh membawa kepada perpecahan serta menyukarkan usaha membentuk kerjasama politik yang kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Kita tidak mahu perasaan regionalistik yang terlalu tebal dibangkitkan. Kenapa perlu wujud perasaan sebegitu sedangkan kita saling memerlukan antara satu sama lain?
“Negara ini dibentuk atas semangat Persekutuan Malaysia. Maka, kerjasama antara negeri dengan Persekutuan sangat penting untuk kemajuan bersama,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa pendekatan politik inklusif dan terbuka harus menjadi keutamaan, bukan retorik yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Ahmad Zahid berkata setakat ini gabungan BN-PH Plus masih belum memuktamadkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti, namun rundingan masih berjalan.
“Kita tidak pernah menutup pintu kepada sebarang bentuk kerjasama. Parti-parti lain juga menunjukkan keterbukaan, dan kami percaya rundingan ini akan terus berjalan sehingga hari penamaan calon,” katanya.
Beliau turut merujuk situasi politik global apabila menyatakan bahawa di 77 negara, tiada parti yang benar-benar dominan dalam pilihan raya umum atau pemilihan presiden.
“Tren ini juga berlaku di Malaysia dalam PRU-15. Tiada parti yang dominan, dan kita terpaksa bergabung untuk membentuk kerajaan.
“BN, meskipun tidak menang banyak kerusi, tetap menjadi penyumbang kepada pembentukan kerajaan,” katanya.
“Pendekatan realistik dan inklusif seperti ini perlu diteruskan di Sabah, dan tidak seharusnya ada mana-mana parti merasa terlalu kuat untuk bertanding secara solo,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan UMNO Sabah, beliau berkata parti itu diberi kuasa autonomi untuk membuat keputusan politik di peringkat negeri, namun masih dalam kerangka rundingan dan permuafakatan.
“Kita menghormati autonomi UMNO Sabah, dan kita yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Panglima Bung Moktar. Namun tidak ada perkara yang tidak boleh dirundingkan demi kebaikan semua.
“Kita memberi jaminan bahawa Bung Moktar akan terus berbincang secara terbuka dengan kepimpinan pusat bagi memastikan strategi politik terbaik dapat digerakkan di Sabah,” katanya.