![]() |
Shahelmey (tengah) menerima cenderahati dari Masawi. |
PUTATAN: Sambutan Pesta Kaamatan dengan tema Kaamatan Untuk Semua boleh menjadi landasan kepada penyatuan rakyat pelbagai kaum, khususnya di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata tema sambutan tahun ini amat bersesuaian dengan semangat perpaduan rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik.
“Tahun ini, tema yang dipilih ialah Kaamatan Untuk Semua atau Kaamatan Montok Toinsanan yang membawa maksud keterangkuman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, seiring dengan kepelbagaian kaum di Sabah.
“Jadikan Pesta Kaamatan sebagai medan untuk kita semua bersatu dalam kepelbagaian, kerana ia penting bagi mewujudkan kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Sabtu.
Shahelmey turut menyeru masyarakat agar menghayati nilai kesyukuran yang menjadi inti pati kepada sambutan Pesta Kaamatan.
“Kita harus memahami makna di sebalik penganjuran pesta ini, terutama nilai kesyukuran yang menjadi simbol utama perayaan ini.
“Dengan sentiasa bersyukur atas apa yang dimiliki dan terus berusaha mempertingkatkan pencapaian, kita akan dapat membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan maju,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi Qhazanah Technology Sdn Bhd merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari dan Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)