UMNO-BN berazam selesaikan isu air, jalan, dan elektrik dalam 3 tahun jika menang PRN Sabah - Zahid



KOTA KINABALU: UMNO-BN berazam menyelesaikan isu berkaitan fasiliti seperti air, jalan raya dan elektrik di Sabah dalam tempoh tiga tahun ini jika memenangi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kelak.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata masalah berkaitan fasiliti terbabit menyebabkan kekurangan pelabur luar dimana sebahagiannya enggan membuat pelaburan di negeri ini.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri itu berkata disebabkan masalah asas sedemikian menyebabkan banyak industri berpotensi di Sabah tidak maju.

"Kenapa industri tidak naik (maju)? Pelabur-pelabur tidak mahu masuk sebabb tidak ada elektrik dan bekalan air yang cukup ke industri. Begitu juga kerana tidak ada prasarana yang cukup untuk kawasan industri itu.

"Saya berazam ketiga-tiga masalah ini mesti diselesaikan dalam tempoh tiga tahun pertama jika UMNO diberikan mandat oleh rakyat.

"Saya juga berazam untuk membawa Foreign Direct Investment (FDI) lebih banyak ke Sabah ini supaya orang Sabah tidak perlu ke Semenanjung atau tempat lain untuk mencari pekerjaan. Orang Sabah mesti bekerja di Sabah untuk membantu keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perasmian Program Gerak17 DUN Karambunai bertempat di Dewan IKM Sepanggar, di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata membawa lebih ramai pelabur masuk ke negeri ini mampu membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Dengan cara kita mewujudkan pekerjaan, untuk wujudkan pekerjaan, pelaburan mesti dibawa dari luar negara. Pelabur dibawa masuk bila tiga masalah (fasiliti) itu diselesaikan.

"Ini boleh kita lakukan, Insya Allah sebab kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang baik," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama