Remaja lepasan SPM buat aksi "wheely" ketika lumba haram ditahan polis.

Remaja yang membuat aksi "wheely" ketika lumba haram pada 10 Mei lalu, ditahan polis. Foto | PDRM.
 

TAWAU : Remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan polis selepas aksinya melakukan 'wheely' ketika lumba haram di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik di media sosial memaparkan beberapa orang penunggang motosikal sedang melakukan aktiviti lumba haram di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam pada 10 Mei lalu membabitkan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aktiviti lumba haram di lokasi berkenaan.

"Melalui rakaman itu, salah seorang daripada mereka dilihat menunggang dengan laju sambil melakukan aksi Wheelie (tayar hadapan terangkat) sebelum hilang kawalan lalu melambung di tengah jalan dan terbabas di tepi laluan berkenaan.

"Akibatnya, penunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR mengalami kecederaan di bahagian kaki, buku lali dan tangan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta berhampiran," katanya menerusi kenyataan media di sini pagi ini.

Mengulas lanjut, Jasmin berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) diketuai Asisten Superintenden Joan Lee telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki remaja berumur 17 tahun kerana disyaki terlibat dalam video yang dimuat naik di media sosial.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati remaja yang baru menduduki dan memperolehi Sijil Pemeriksaan Malaysia (SPM) itu, tidak mempunyai lesen memandu manakala motosikal adalah milik rakannya yang dipinjam pada malam kejadian.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu dan membahayakan, Seksyen 26(1) dan Seksyen 90(1) Akta yang sama.

"Selain itu, tindakan saman keatas pemilik motosikal juga sudah dibuat atas kesalahan membenarkan motosikal digunakan individu yang tidak memiliki lesen memandu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Ibu bapa atau penjaga supaya mengawasi anak masing-masing terutama remaja yang masih di bawah umur daripada menggunakan kenderaan tanpa lesen.

Tegasnya, kegagalan itu boleh menyebabkan Ibu bapa atau penjaga didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan anak di bawah tanggungan memandu tanpa pengawasan.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama