Ordinan Buruh Sabah diperkasa, 2.1 juta tenaga kerja akan didaftarkan secara berfasa

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dilihat sebagai langkah penting dalam usaha kerajaan menangani kebergantungan terhadap tenaga kerja asing di negeri ini.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku keempat 2024 merekodkan, Sabah mempunyai seramai 2.1 juta tenaga kerja.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Rosli Isa berkata, pindaan ordinan tersebut membuka ruang kepada pendekatan lebih sistematik dalam menangani isu kehadiran pekerja tanpa dokumen sah, khususnya dalam sektor perladangan.

“Dengan adanya ordinan ini, proses pendaftaran pekerja dapat dilakukan secara berstruktur, dan majikan diberi tanggungjawab penuh untuk memastikan pekerja mereka berdaftar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Tripartite Perburuhan Sabah sempena Jelajah Pendidikan Perburuhan Siri 1/2025, di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, Sistem Pengurusan Pekerja Bukan Pemastautin (eNORES) telah diluncurkan bagi memastikan proses pendaftaran buruh dilaksanakan secara sah mengikut peruntukan undang-undang.

“Kita tidak mahu pekerja tanpa izin terus berada di ladang tanpa pemantauan," jelasnya.

Pelaksanaan ordinan pindaan ini dilihat sebagai antara langkah proaktif kerajaan bagi memperkemas pengurusan buruh dan memperkukuh kawal selia di peringkat negeri.

"Ordinan ini menjadi satu platform penting dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu tenaga kerja asing tidak berdokumen di Sabah,” ujarnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama