Rakyat Sabah masih rindui era UMNO, kata Salleh

Ahmad Zahid ketika merasmikan Gerak17 di Tenom, pada Ahad.

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat negeri ini khususnya di kawasan luar bandar masih merindui era kepimpinan UMNO yang telah membawa pembangunan dan kemajuan di Sabah.

Katanya, perkara terbabit jelas dilihat apabila sambutan yang diterima Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selama dua hari di Sabah.

"Sambutan yang diberikan amat luar biasa, penuh semangat dan keikhlasan daripada rakyat. Ini satu petanda jelas bahawa UMNO dan Barisan Nasional masih mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Sabah.

"Lawatan ini bukan sekadar simbolik. Ia membuktikan bahawa semangat perjuangan UMNO masih hidup di akar umbi. Sambutan yang diterima menunjukkan kesiapsiagaan jentera parti di peringkat kawasan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

"Ramai rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar, masih mengingati zaman pemerintahan BN yang stabil dan terancang.

"Ketika itu, tumpuan diberikan kepada pembangunan asas iaitu jalan raya, bekalan air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan peluang pekerjaan," katanya.

Disamping itu, beliau berkata dalam suasana politik yang tidak menentu dan kerap berubah-ubah, rakyat semakin merindui kepimpinan yang mampu menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Menurutnya, UMNO telah membuktikan keupayaannya sebagai parti yang menjaga perpaduan dan kestabilan negeri.

"UMNO dan BN bukan parti baru. Kita ada rekod pencapaian yang nyata, struktur organisasi yang tersusun, dan pengalaman luas dalam pentadbiran.

"Rakyat tidak mahu lagi terperangkap dengan janji manis yang tidak ditepati.

"Presiden UMNO turut menegaskan bahawa UMNO Sabah diberikan autonomi penuh untuk menentukan bentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Ini satu penghormatan kepada kepimpinan tempatan dan selaras dengan semangat autonomi Sabah dalam Persekutuan Malaysia," katanya menerusi hantaran dalam laman media sosial Facebook, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkata PRN yang bakal menjelang tiba bukan sekadar soal politik atau pertandingan parti semata-mata.

"Ia soal menentukan arah masa depan Sabah, kestabilan politik, pembangunan menyeluruh, dan pembelaan kepada rakyat.

"UMNO dan BN, bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan, bersedia memikul tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama