KM bersama pempengaruh, dengar pandangan, permintaan, keperluan mereka



KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengambil peluang beramah mesra dan mendengar permintaan serta keperluan pempengaruh di negeri ini sempena program Santai YAB Ketua Menteri Bersama Pempengaruh Sabah 2025 bertempat di North Borneo Cruise, Kota Kinabalu, pada Ahad.

Sempena program itu, beberapa pempengaruh berpeluang menyampaikan pandangan dan aspirasi golongan itu bagi mengangkat peranan mereka secara lebih signifikan di negeri ini.

Antara yang dibangkitkan ialah cadangan penubuhan entiti yang bertanggungjawab menjaga dan menyelaras gerak kerja dalam kalangan pengkarya seni di negeri ini bagi mengangkat produk dan karya seni tempatan, selain inisiatif yang disediakan bagi membantu pempengaruh khususnya dalam bidang keusahawanan.

Dalam maklum balasnya, Ketua Menteri menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa melihat keperluan rakyat termasuk golongan seni dan pempengaruh bagi sama-sama membangun negeri mengikut kapasiti masing-masing. 

Keperluan serta permintaan golongan pengkarya dan pempengaruh akan terus mendapat perhatian kerajaan negeri bagi mengangkat hasil karya mereka sekali gus memartabat industri seni di Sabah.

Progran anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri Sabah menghimpunkan lebih 70 orang pempengaruh terkenal, sebagai usaha berterusan untuk mendekatkan dan menyemarakkan lagi kebersamaan di antara keraaan dan rakyat di negeri ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama