Kaamatan dirai bersandarkan tanggungjawab, pastikan nilai budaya terpelihara - Christina

Christina (tengah) ketika melakukan simbolik mongomot parai dalam Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2025, di Imago Shopping Mall.


KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan harus diraikan bersandarkan tanggungjawab untuk memastikan nilai budaya terus terpelihara dalam arus pembangunan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata disamping itu juga, perayaan yang diadakan setiap tahun pada bulan Mei itu juga harus tidak melupakan kepentingan kelestarian alam.

“ Tanggungjawab kita adalah memastikan nilai-nilai budaya ini tidak tenggelam dalam kebisingan kemajuan. 

“Kita tidak harus memilih antara pembangunan dan warisan, kita mesti melangkah dengan kedua-duanya seiring. Inilah maksud sebenar kemajuan berteraskan nilai.

"Dalam masa yang sama, saya ingin mengingatkan bahawa kelestarian budaya tidak akan sempurna tanpa kelestarian alam. 

"Maka, dalam meraikan Kaamatan, marilah kita sama-sama mengangkat prinsip penjagaan alam sekitar. Kurangkan plastik, tingkatkan kesedaran dan cintai bumi sebagaimana kita mencintai budaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2025, di Imago Shopping Mall, di sini, kelmarin. 

Turut hadir, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu merangkap Pengerusi Penganjur Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Beliau turut menyeru agar semua masyarakat Sabah untuk menikmati dan menjadikan perayaan itu sebagai ruang bagi memperkuatkan jati diri, suburkan rasa hormat dan kukuhkan asas perpaduan.

“Saya menyeru semua warga bandaraya dan seluruh rakyat Sabah untuk menjadikan Kaamatan sebagai ruang untuk memperkuat jati diri, menyuburkan rasa hormat terhadap satu sama lain, dan memperkukuh asas perpaduan yang telah kita warisi berzaman,” tambahnya. 

Sementara itu, gelaran juara Unduk Ngadau Peringkat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2025 telah dimenangi oleh Evanatie Sannie, yang merupakan Tati yang pertama dalam pertandingan tersebut. 

Tempat kedua diraih oleh Cherub Sharleena Cassdey, manakala tempat ketiga jatuh kepada Nelmui Muhari.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama