PRN17: PKR Sabah mahu jaga hubungan baik dengan GRS


KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mahu meneruskan hubungan baik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha memperkukuh kerajaan perpaduan di negeri ini.

Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, walaupun rundingan rasmi masih belum dimuktamadkan, terdapat persefahaman tidak formal antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan GRS untuk terus bekerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

“Kami belum berada pada posisi untuk memberikan sebarang jawapan rasmi, tetapi kami mahukan agihan kerusi yang adil.

“Apa yang lebih penting ialah mengekalkan hubungan baik dengan GRS dan dalam masa sama, kita juga ada kerjasama dengan BN yang sudah dimeterai,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Menurutnya, pertemuan antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah di Tawau baru-baru ini turut memperlihatkan keharmonian serta kesefahaman antara kepimpinan persekutuan dan negeri. 

“GRS faham pendirian kami dan mereka bersedia bekerjasama. Namun, keputusan akhir bergantung kepada perbincangan lebih lanjut. 

“Apa pun, matlamat utama PKR adalah untuk memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa buat masa ini PKR tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Parti Warisan (WARISAN), dan tumpuan diberikan kepada penyelarasan dengan GRS dan BN.

“Kami belum berbincang dengan Parti WARISAN dan fokus kami sekarang adalah bagaimana untuk menyatukan semua pihak dalam kerajaan perpaduan di Sabah,” katanya 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya akan dirujuk dan diputuskan oleh kepimpinan pusat parti.

“Kita akan bincang lebih lanjut dengan Presiden. Prinsip asas sudah ada, dan kita akan teruskan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama