Kalau nak undi orang Sabah, jangan hina sentimen 'Sabah for Sabahan' - Isham Jalil


KUALA LUMPUR: Parti-parti dari Semenanjung Malaysia tidak sewajarnya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sekiranya mereka hanya hadir sekali-sekala dan tidak memahami sentimen sebenar rakyat negeri itu.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mempersoalkan relevannya sentimen ‘Sabah for Sabahan’ adalah tindakan tidak wajar.

Sedangkan realiti sebenarnya yang berlaku, katanya, sentimen itu masih kuat dalam kalangan rakyat Sabah ketika ini.

“Kalau kamu nak undi orang Sabah, jangan hina sentimen mereka, jangan kata sentimen ‘Sabah for Sabahan’ itu tak sesuai atau tak relevan.

“Rakyat Sabah secara umumnya tidak gemar dengan kehadiran parti-parti dari Semenanjung yang sering dilihat sebagai ‘parti luar’," katanya ketika membuat kenyataan secara langsung di akuan Tiktoknya.

Sebagai pemerhati politik, Isham turut menyeru agar ruang diberi sepenuhnya kepada parti tempatan untuk menentukan hala tuju negeri itu.

“Kepada parti-parti Malaya, stay out of Sabah. Biar orang Sabah tentukan masa depan mereka dalam PRN nanti,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada parti-parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya berhati-hati dalam membuat kerjasama politik, khususnya dengan parti dari Semenanjung, kerana ia boleh memberi kesan kepada sokongan akar umbi.

Katanya, kerjasama PH-BN dengan GRS yang diumumkan baru-baru ini merupakan satu langkah yang terdesak selepas menyedari bahawa parti dari Semenanjung berdepan kesukaran menambat hati rakyat Sabah tanpa sokongan parti tempatan.

“Kalau tak ada parti tempatan, mereka (PH-BN) tahu mereka akan bungkus di Sabah. Justeru, saya nasihatkan pemimpin politik Sabah mengutamakan kehendak rakyat dan bukan tunduk kepada tekanan politik luar.

“Kalau kamu terima PH-BN dan kalah, orang Sabah akan salahkan kamu. Mereka akan kata kamu bawa masuk parti luar, dan akhirnya kamu juga yang kena,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama