KOTA KINABALU: Seramai 962 jemaah haji dari Sabah terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini, dengan kumpulan pertama 137 jemaah berlepas ke Jeddah pada 4.30 pagi, pada Ahad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kumpulan itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci menaiki penerbangan khas MH8126 AMAL by Malaysia Airlines.
“Penerbangan KT55S ini akan bergabung dengan 147 jemaah dari Selangor, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 284 jemaah dalam penerbangan ke-55 daripada 100 penerbangan khas disediakan Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Negeri Sabah 2025 di Tun Sakaran Ballroom, Raia Hotel, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, seramai 567 daripada 962 jemaah haji Sabah adalah wanita, manakala selebihnya 395 jemaah lelaki, yang dijadual berlepas secara berperingkat.
Katanya, semua jemaah diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin, mematuhi garis panduan TH serta menghormati undang-undang Arab Saudi demi menjamin keselamatan dan kelancaran ibadah.
“Bakal jemaah perlu fokus kepada ibadah, elakkan daripada terlibat dalam aktiviti yang melanggar peraturan negara tuan rumah,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan jemaah agar menjaga kesihatan dan kebersihan diri, terutama dalam cuaca panas serta perhimpunan besar umat Islam dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menasihati rakyat Malaysia yang berhajat menunaikan haji agar tidak terpedaya dengan tawaran haji menggunakan saluran tidak sah atau tanpa visa sah.
“Tindakan sedemikian boleh mengundang risiko besar termasuk dikenakan denda, dihantar pulang dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi dalam tempoh tertentu,” katanya.
Tambah beliau, jemaah juga berperanan sebagai ejen penyebar maklumat kepada keluarga dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi peraturan ibadah haji.
Majlis pelepasan jemaah haji Sabah itu disempurnakan bersama oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Mohd Na’im yang mewakili kerajaan Persekutuan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, serta Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji, Datuk Nurlaila Said.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)