![]() |
BN Sabah. |
KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) perlu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang jelas dan tegas.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, langkah itu penting bagi memastikan tidak berlaku lagi episod pengkhianatan dan perebutan kuasa seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, UMNO melihat terdapat keperluan mendesak untuk mana-mana gabungan yang mahu bekerjasama dengan BN menandatangani suatu perjanjian kerjasama bagi mengelakkan ‘episod tikam belakang’ berulang.
"MoU berkenaan mesti disertakan dengan senarai kehendak atau 'wishlist' daripada setiap parti yang terlibat agar persefahaman lebih terancang dan tidak mengundang konflik di kemudian hari.
“Jadi untuk PRN17 ini, antara rakan gabungan mesti ada persefahaman termasuk apakah ‘wishlist’ setiap parti,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Suhaimi turut mengingatkan bahawa isu ‘lompat parti’ yang berleluasa di Sabah perlu ditangani secara serius, dan MoU ini dilihat sebagai salah satu langkah pencegahan terbaik.
“Usaha ini juga bagi mengelakkan ‘lompat parti’ yang menurutnya sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan ahli politik di Sabah.
"Lebih baik kita jalan berdepan dengan musuh di depan daripada kita berjalan bersama tetapi ada musuh dari belakang,” katanya.
Menurutnya, UMNO Sabah kini sedang meneliti pendekatan terbaik bagi menghadapi PRN17 dan menggesa semua pihak agar mengutamakan kestabilan politik dan mandat rakyat.