BN runding dengan PH, bukan PKR

UMNO (kiri), PKR (kanan).

KOTA KINABALU: Rundingan yang dijalankan oleh Barisan Nasional (BN) bersama dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) adalah secara kolektif, bukan dengan satu-satu parti komponen seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) semata-mata. 

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin semalam berkaitan BN Sabah dan PH harus membuat perundingan rasmi terlebih dahulu berkaitan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

"Saya mengambil maklum terhadap pandangan tersebut, namun ingin menjelaskan beberapa perkara asas yang perlu difahami oleh semua pihak dalam konteks rundingan dan kerjasama politik menjelang PRN17 Sabah.

"Pertama sekali, kenyataan saudara Razeef adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili keseluruhan pendirian PH. Oleh itu, mana-mana kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan PKR Sabah harus dilihat dalam konteks pandangan parti itu sendiri, bukan sebagai keputusan bersama PH.

"Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkenaan UMNO Sabah bertanding 40 kerusi dan tawaran 33 kerusi kepada PH adalah berdasarkan strategi agihan kerusi jika kerjasama BN-PH dapat dimuktamadkan. 

"Tawaran ini terbuka untuk rundingan dan sekiranya tiada persetujuan bersama, BN berhak untuk membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain yang bersedia untuk bekerjasama secara strategik demi kestabilan dan pembangunan negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata sebarang kerjasama baharu termasuk dalam bentuk 'BN-PH Plus’ akan dibincangkan secara telus dan menyeluruh.

"Namun satu perkara yang tidak akan berubah adalah pendirian bahawa BN tidak akan bertanding dalam keadaan lemah atau sebagai parti minoriti. 

"BN kekal dengan prinsip untuk menjadi parti dominan dalam mana-mana gabungan kerana kami percaya kepada rekod, kekuatan akar umbi, serta komitmen kami terhadap agenda rakyat.

"Justeru,saya ingin menegaskan kepada semua pihak untuk menghormati proses rundingan yang sedang berjalan. Kerjasama politik harus dibina atas dasar kepercayaan, kematangan dan hormat-menghormati antara semua pihak yang berkepentingan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama