Pensyarah UMS raih Anugerah Whitley 2025 di UK, terima pengiktirafan usaha lindungi gajah Borneo

Foto ihsan Whitley Fund For Nature.


KOTA KINABALU: Penyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Nurzhafarina Othman, diiktiraf pencapaiannya di peringkat antarabangsa apabila diumumkan sebagai salah seorang dari enam penerima Anugerah Whitley 2025 dari United Kingdom tahun ini.

Anugerah berprestij itu diberikan oleh Whitley Fund for Nature (WFN) sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam melindungi populasi gajah Borneo yang semakin terancam, khususnya di timur Sabah.

Dr Nurzhafarina, pakar pemuliharaan gajah Malaysia dan pengasas Seratu Aatai, sebuah organisasi di Sabah yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlindungan gajah, menerima hadiah berjumlah £50,000 (sekitar RM287,000).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Puteri Anne, yang merupakan penaung WFN dalam satu majlis rasmi berlangsung di Royal Geographical Society, London.

Menurut kenyataan Whitley Fund for Nature, projek beliau memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang antara pemuliharaan dan industri perladangan, khususnya dengan komuniti sawit di kawasan Lower Kinabatangan.

WFN turut menjelaskan anugerah tersebut mengiktiraf dedikasi beliau dalam memelihara sekitar 300 ekor gajah Borneo yang masih wujud di kawasan timur Sabah dimana ia menyebabkan konflik antara manusia dan hidupan liar semakin meningkat akibat kehilangan habitat.

Selain itu, kajian daripada Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) turut melaporkan bahawa gajah Borneo telah kehilangan lebih separuh daripada kawasan hutan semula jadi mereka dalam tempoh 40 tahun, dan kini tersenarai sebagai spesies terancam.

Melalui program sains warganegara dan pelaksanaan amalan pertanian beretika, inisiatif Seratu Aatai juga menyumbang kepada perancangan Rizab Biosfera Kinabatangan serta memberi manfaat kepada spesies terancam lain termasuk orang utan dan harimau dahan.

Ditubuhkan pada tahun 1993, WFN telah menyalurkan dana kepada lebih 220 pejuang pemuliharaan di lebih 80 negara.

Penerima lain termasuk Dr Yara Barros dari Brazil, yang memelihara populasi jaguar melalui pendidikan komuniti di Taman Negara Iguaçu; Dr Andrés Link dari Colombia yang melindungi monyet labah-labah dan habitat mereka; Dr Federico Kacoliris dari Argentina yang memperjuangkan perlindungan katak sungai El Rincón; Reshu Bashyal dari Nepal yang menangani penyeludupan orkid dan pokok yew; serta Rahayu Oktaviani dari Indonesia yang memelihara habitat siamang Jawa di Pulau Jawa.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama