Kementerian Pertahanan beri keutamaan projek perumahan di Kem Kabota


TAWAU: Kementerian Pertahanan komited dalam memastikan kebajikan anggota tentera terus diberi keutamaan menerusi pembinaan rumah kediaman baharu bernilai RM99 juta di Kem Kabota, Tawau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek perumahan yang telah diluluskan kerajaan itu dijadual siap sepenuhnya pada September tahun depan.

Katanya, projek itu menjadi antara keutamaan Kementerian Pertahanan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan anggota tentera di Sabah.

“Projek ini bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang selesa, tetapi memastikan anggota dapat melaksanakan tugas dengan tenang.

“Pemantauan rapi akan dilakukan terhadap pelaksanaan projek ini termasuk memastikan pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mematuhi jaminan tarikh siap yang telah ditetapkan.

“Saya mahu jaminan ditepati kerana kita tidak mahu kejadian seperti projek di Kem Kukusan berulang, di mana projek yang menelan kos RM77 juta gagal disiapkan dan akhirnya kontrak ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan kerjanya ke Sabah di Kem Kabota, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kegagalan kontraktor menyiapkan projek di Kem Kukusan bukan sahaja menyebabkan kelewatan penyediaan rumah, malah menambah beban kerajaan dari segi masa dan kos.

“Bila kita perlu tender semula, sudah tentu ada peningkatan kos. Ini merugikan kerana dana yang sepatutnya digunakan untuk projek lain terpaksa dialihkan,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled turut meninjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan di Tawau serta menilai keberkesanan operasi pertahanan termasuk Ops Pasir yang bertujuan mengawal keselamatan di pantai timur Sabah.

Beliau turut menyantuni anggota tentera yang bertugas dan menegaskan bahawa usaha kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada aspek keselamatan negara, tetapi juga kebajikan dan kesejahteraan hidup setiap anggota dan keluarga mereka.

“Anggota kita perlu tempat tinggal yang baik untuk mereka membina keluarga. Sebab itu isu penyediaan rumah ini menjadi fokus utama dalam setiap lawatan saya.

“Projek RM99 juta di Kem Kabota ini merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memperkukuh aspek logistik dan kebajikan pertahanan, selari dengan agenda kerajaan memperkasakan angkatan tentera di zon strategik seperti Sabah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama