![]() |
Hendrus ketika ditemui wartawan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Kota Marudu, pada Selasa. |
KOTA MARUDU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Hendrus Anding menegaskan bahawa usaha memperkasa kemudahan infrastruktur dan sektor ekonomi rakyat di kawasan Tandek akan terus menjadi keutamaannya.
Menurutnya, meskipun pelbagai kemajuan telah dicapai dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki demi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.
"Selama empat tahun itu kita telah bekerja keras dalam berbagai sektor… beberapa perkara perlu kita perkasakan lagi.
"Perkara yang paling pertama ialah infra seperti jalan-jalan perhubungan, masih terlalu jauh perbezaan antara di negara-negara yang lain mahupun di wilayah yang lain," katanya ketika ditemui wartawan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Kota Marudu, pada Selasa.
Tambah beliau, lonjakan dari segi pembangunan jalan raya dan bangunan kerajaan sudah kelihatan.
Walau bagaimanapun, menurutnya komitmen untuk terus memperbaiki kemudahan asas masih menjadi keutamaan bagi kerajaan negeri.
Dalam masa sama, sektor ekonomi juga turut diberi tumpuan menerusi pelbagai inisiatif seperti projek agropolitan, tanaman kelapa dan jagung di kawasan terbiar sebagai langkah meningkatkan pendapatan rakyat.
“Sudah tentu keterjaminan makanan seperti sawah padi terbiar, kita akan bangunkan selanjutnya supaya dapat meningkatkan lagi kita punya sektor makanan dan dalam masa yang sama, meningkatkan pendapatan rakyat,” ujarnya lagi.