Kerjasama BN-PH: PH Sabah terbuka pupuk perpaduan demi masa depan Sabah


KOTA KINABALU: PH Sabah terbuka untuk memupuk perpaduan dan kerjasama dengan parti lain disamping berpandangan ia harus berpandukan kepada membangunkan polisi yang berorientasikan kepentingan rakyat serta masa depan Sabah.

Perkara terbabit dinyatakan dalam satu kenyataan media bersama oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Lahirul Latigu.

"PH dan Barisan Nasional (BN) merupakan gabungan tunjang kepada Kerajaan Persekutuan hari ini bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti yang lain.

"Ianya rasional untuk kedua-dua gabungan ini bekerjasama dalam pilihanraya termasuk terbuka untuk perbincangan dengan parti-parti lain yang mendukung perpaduan dan kerjasama dalam membangunkan Persekutuan Malaysia.

"PH Sabah yakin kestabilan politik di Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah serta hubungan Persekutuan-negeri yang harmoni dan baik perlu dikekalkan dan diperkasakan bagi memastikan aspirasi penubuhan Persekutuan Malaysia dan masa depan rakyat Sabah dapat dijayakan," jelas dalam kenyataan media bersama terbabit.

Hari ini, media melaporkan BN dan PH sepakat untuk menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Menerusi kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat, semalam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama