PN perlu pertimbang sokong GRS, kata Annuar Musa



KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa menyarankan parti itu memberi sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Annuar berkata, ia susulan daripada keputusan kerjasama rasmi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, langkah PH dan BN bergabung jelas menunjukkan hasrat kerajaan Perpaduan persekutuan untuk menguasai politik Sabah.

“PN sepatutnya mempertimbangkan untuk menyokong GRS. Bahkan, jika perlu, PN boleh bertanding atas tiket GRS atau tidak bertanding langsung.

“Hal ini kerana, GRS juga pernah menjadi sebahagian daripada PN sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, sambil menegaskan kenyataan itu adalah pandangan peribadi beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa PAS mungkin tidak akan menggunakan lambang ‘bulan’ pada PRN Sabah kali ini.

Sebaliknya, katanya, parti itu dijangka menggunakan logo rakan gabungan pada pilihan raya itu nanti.

Beliau turut mencadangkan pembentukan satu gabungan besar membabitkan PN, GRS dan Parti Warisan bagi menghadapi pakatan PH-BN di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa kerjasama antara BN dan PH tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding secara solo sekiranya PH dan BN telah memuktamadkan kerjasama mereka.

Bagaimanapun, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menyuarakan keyakinan bahawa kesemua pihak termasuk GRS mampu mencapai kesepakatan bagi membentuk pakatan pilihan raya bersama.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama