Kerjasama Sabah-Pusat perlu untuk pembangunan, bukan sentimen politik



TAWAU: Kemajuan Sabah hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, bukannya menerusi perbalahan politik atau sentimen kenegerian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kekuatan dan kemajuan negara tidak akan dapat dibina sekiranya wujud perpecahan antara negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Semenanjung tidak akan maju, Sarawak tidak akan maju, Sabah pun tidak akan maju kalau kita tidak bersatu dan bermuafakat. 

“Kita perlu angkat negeri ini bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Sabah di sini, hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas kerjasama dan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Saya tidak pernah minta saham, balak atau kontrak daripada Sabah. Saya datang ke sini untuk memberi khidmat kepada rakyat kerana itu tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

“Sebanyak 144 projek pembangunan bernilai RM14 bilion telah dan sedang dilaksanakan di Sabah, termasuk menaik taraf Hospital Tawau, Penjara Lahad Datu, serta pembangunan Pelabuhan Kontena Sepanggar,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menyelesaikan isu asas rakyat seperti bekalan air bersih, elektrik, pendidikan dan kesihatan yang masih membelenggu sebahagian besar kawasan luar bandar di negeri itu.

“Kita tidak mampu menyelesaikan semua masalah dalam tempoh dua tahun, namun kerajaan MADANI akan terus bekerja keras demi kepentingan rakyat.

“Justeru, saya menyeru rakyat serta jentera kerajaan supaya memainkan peranan dalam menegur secara membina terhadap pelaksanaan program kerajaan agar penambahbaikan dapat dilakukan.

“Kalau ada kelemahan, beri teguran. Kalau ada cadangan, kemukakan. Itulah cara kita hidupkan Malaysia yang hebat dan Sabah yang maju,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama