![]() |
Jeffrey ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 pada 30 Mei ini.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 berkata, Anwar sekali gus akan merasmikan sambutan Pesta Kaamatan pada hari tersebut.
"Manakala penutupan rasmi sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri itu pula akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada 31 Mei.
“Tujuan kunjungan kami kepada Tun Musa adalah untuk memberi taklimat mengenai majlis penutupan Kaamatan serta aktiviti dan program yang akan berlangsung pada hari tersebut,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.
Menurut Jeffrey, antara acara utama termasuk persembahan kebudayaan, lawatan ke rumah-rumah tradisi di Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) serta pertandingan Unduk Ngadau yang akan berlangsung pada sebelah petang.
Dalam pada itu, dengan tema Kaamatan kali ini, "Kaamatan Untuk Semua", Jeffrey berharap sambutan tahun ini akan berjalan lancar dan lebih meriah dengan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara.
Tambahnya, sambutan berkenaan turut menerima kehadiran pelawat dari luar negara termasuk Kalimantan, selain jemputan kepada para duta dan pelabur.
“Kaamatan merupakan platform penting untuk menggerakkan ekonomi Sabah. Sebab itu kerajaan memberi peruntukan besar untuk menjayakan pelbagai aktiviti bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Sarawak dan Semenanjung.
“Sambutan Kaamatan kini menjadi festival peringkat kebangsaan dan memberi impak besar kepada sektor ekonomi serta pelancongan,” dedahnya.
Beliau turut memaklumkan sambutan itu mampu memberi manfaat kepada peniaga kecil di kampung dan mukim, selain membuka peluang promosi produk tempatan ke peringkat lebih luas.
“Saya percaya impak Pesta Kaamatan bukan sahaja bersifat domestik, malah juga nasional dan antarabangsa,” katanya lagi.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Peto Galim dan Setiausaha Tetap kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Leonard Stephen Poyong.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)