![]() |
Foto ihsan Bomba |
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.22 pagi menerusi talian MERS999, sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.39 pagi.
Beliau berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 40x40 kaki yang terbakar hampir 90 peratus.
“Sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang berada berhampiran turut terbakar lima peratus akibat terkena bahangan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman melibatkan dua aliran sepanjang 200 kaki dan enam pancutan, dengan sumber air diperoleh dari jentera serta tangki air bantuan.
"Mangsa pertama iaitu seorang wanita warga emas berusia 80 tahun ditemui rentung pada jam 7.13 pagi.
“Manakala, seorang lagi mangsa, remaja perempuan berusia 14 tahun, ditemukan pada jam 7.33 pagi," jelasnya.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seramai 31 anggota dari BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang terbabit dalam operasi, dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.43 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi kejadian,” katanya lagi.