Sabah ketinggalan di bawah parti tempatan selama hampir 40 tahun - Bung Moktar

Bung Moktar.


KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan negeri Sabah ketinggalan dari pelbagai aspek khususnya kemajuan dan pembangunan ketika kerajaan negerinya diterajui parti politik tempatan selama hampir 40 tahun.

Katanya, sejarah membuktikan tempoh kemajuan ketika ditadbir parti tempatan hanya sedikit berikutan parti-parti tempatan kerap bertelingkah dan berebut kuasa.

Susulan itu, beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Sabah berkata perkara terbabit berlarutan sehingga tumpuan lebih kepada mengurus politik berbanding mengurus pembangunan negeri dan rakyat. 

Katanya lagi, walaupun negeri mempunyai sumber dan hasil yang banyak namun ia tidak disalur kearah kemajuan. 

"Banyak kawasan luar bandar ketinggalan, prasarana yang daif, kadar kemiskinan terus bertambah dan tiada pelan pembangunan yang tersusun kerana kerajaan kerap bertukar ganti. Ini berlaku ketika era parti-parti tempatan memerintah negeri Sabah selama hampir 40 tahun.

"Perubahan dan kestabilan politik hanya berlaku apabila BN mengambil alih pentadbiran pada tahun 1994. Dengan adanya kestabilan kerajaan BN dapat beri tumpuan kepada pembangunan ke seluruh pelusuk Sabah. 

"Kita bina infrastruktur asas seperti jalan raya, sekolah dan hospital. BN bina universiti, rangkaian jalanraya termasuk Pan Borneo. Pembangunan luarbandar juga rancak semasa pemerintahan BN selama 24 tahun.  

"Keupayaan untuk membawa pembangunan ini bukan datang daripada slogan, tetapi hasil kestabilan, pengalaman, dan rangkaian pentadbiran yang mantap antara negeri dan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata pihaknya tidak menolak prinsip perkongsian kuasa, reformasi parti dan kepimpinan berintegriti. 

Katanya lagi, pihaknya juga telah membuktikan bahawa pentadbiran yang sistematik dan berpandangan jauh mampu menghasilkan kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha menyeru perpaduan, Bung Moktar berkata semua pihak perlu bersikap adil terhadap sejarah supaya kesilapan lama tidak diulang atas nama semangat baharu.

"UMNO Sabah akan terus komited dalam memperjuangkan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memperkukuh kestabilan politik, dan memastikan rakyat Sabah mendapat layanan yang adil dan saksama dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

"Perpaduan politik Sabah tidak akan tercapai hanya melalui kenyataan umum. Ia mesti dibina melalui dasar yang jelas, pentadbiran yang stabil, dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk rakyat.

"Politik bukan soal sentimen dan emosi. Politik perlu diurus secara bijaksana. Sukar kerajaan negeri  membangun sekiranya hubungan dengan kerajaan persekutuan terus bergelora.

"Refomis politik Sabah tidak seharusnya menanam bibit-bibit kebencian yang terlalu mendalam, sebab akhirnya akibat buruk akan ditanggung rakyat bukan orang politik," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama