![]() |
Mustapha sewaktu ditemui media di Karnival Pendidikan, Kemahiran dan Kerjaya Borneo di North Borneo University College (NBUC) hari ini. |
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, menekankan bahawa pendekatan bersama antara PH, Barisan Nasional (BN), dan GRS adalah penting untuk mengekalkan kestabilan politik di negeri ini, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan Madani yang diterajui di peringkat Persekutuan.
"Kita mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia mencerminkan asas Kerajaan Perpaduan Madani. Namun kita juga perlu membuka ruang kepada parti-parti lokal seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), yang merupakan sebahagian daripada gabungan nasional,"katanya.
Mustapha berkata, perbincangan awal antara pimpinan tertinggi dijangka berlangsung sempena lawatan Perdana Menteri ke Tawau, di mana isu pengagihan kerusi dan hala tuju politik negeri bakal disentuh.
"Kita harap ada rundingan supaya kehendak rakyat dapat diutamakan. Hasrat Perdana Menteri adalah untuk mengekalkan kesepaduan di Sabah seperti di peringkat pusat," jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa sekiranya kerjasama gagal dicapai, PH Sabah bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.
Disamping itu, Mustapha turut mengingatkan bahawa kestabilan politik Sabah bergantung kepada keikhlasan semua pihak untuk bekerjasama dan bukannya menegaskan dominasi.
"Ini politik, kalau GRS mahu bergerak solo, itu hak mereka. Tapi kita bersedia untuk segala kemungkinan dan akan hadapi cabaran itu dengan kematangan. Pilihan terakhir tetap diserahkan kepada rakyat Sabah,” katanya lagi.