KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyokong ketegasan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkukuh peranan parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, hanya parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah.
“Saya menyambut baik kenyataan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang menegaskan pentingnya parti tempatan dalam memastikan kestabilan politik dan pembangunan berterusan di Sabah.
“GRS telah membuktikan kemampuan memimpin negeri menerusi dasar Halatuju Sabah Maju Jaya yang bersifat inklusif dan berorientasikan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama politik di peringkat nasional perlu menghormati kekuatan dan suara parti tempatan, bukannya meminggirkan mereka.
“Kita menghormati peranan parti nasional dalam kerajaan Perpaduan, tetapi sebarang perbincangan politik mestilah berpaksikan semangat muafakat.
“Percubaan membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS adalah tindakan pra-matang dan tidak mencerminkan keikhlasan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, menegaskan komitmen Gagasan Rakyat untuk terus memperkukuh GRS sebagai wadah utama perjuangan rakyat Sabah.
Katanya, kestabilan politik dan kedaulatan suara tempatan mesti dipertahankan demi masa depan negeri yang lebih makmur dan terjamin.