MOSTI komited tingkatkan akses teknologi di kawasan pendalaman

Yusof (tengah) bersama warga pendidik dan ahli PIBG SMK Pitas II

PITAS: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan komitmennya dalam memperluas inisiatif inovasi sosial ke kawasan luar bandar, termasuk di Pitas bagi memastikan masyarakat setempat tidak terpinggir daripada arus pembangunan teknologi.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Yusof Apdal, berkata usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak terpinggir daripada arus kemajuan teknologi.

"Kita ada beberapa inisiatif yang telah dirangka dan sedang diteruskan, contohnya, kita ada inovasi sosial yang dibawa oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

"Kita wujudkan Ruang Daya Cipta (RDC) sebagai tempat masyarakat setempat seperti di Pitas, untuk mendapatkan pendedahan dan latihan hands-on mengenai teknologi yang boleh membantu mereka dalam pelbagai usaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas II, Sabah, pada Selasa.

Beliau menjelaskan, *semua* program tersebut disesuaikan untuk semua lapisan masyarakat, termasuk di bandar, pinggir bandar, dan kini fokus diberikan kepada komuniti luar bandar.


“Program kita ini diubah suai untuk semua, baik di bandar yang telah banyak dilaksanakan, atau di pinggir bandar," jelas Yusof.

Inisiatif ini selaras dengan Dasar Inovasi Sosial 2025-2030 yang dilancarkan oleh MOSTI, yang bertujuan untuk membangunkan strategi jangka panjang dalam menangani cabaran sosial melalui pendekatan inovatif dan inklusif.

"Kini, kita fokus pula kepada luar bandar supaya masyarakat luar bandar ini tidak terpinggir daripada memahami dan tahu tentang manfaat sains dan teknologi untuk mereka,” ujarnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama