![]() |
Goh ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Edisi Ke-10 mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan penyertaan tertinggi dengan 988 peserta sejak ia mula dianjurkan pada 2014.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) merangkap Pengerusi Penganjur, Tan Sri Dr T.C. Goh berkata, sebanyak 75 pasukan mengambil bahagian dalam 141 acara membabitkan 11 kategori perlumbaan yang berlangsung di Teluk Likas.
Beliau berkata, perlumbaan tahun ini turut disertai pasukan antarabangsa dari Singapura, Hong Kong dan Brunei meskipun berdepan sedikit gangguan cuaca, namun semua acara berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
"Semua peserta berada dalam keadaan baik dan gembira, malah banyak kategori mencatat rekod baharu. Kami telah menetapkan tarikh 15 hingga 17 Mei tahun depan bagi penganjuran edisi ke-11 dan berharap lebih banyak penyertaan antarabangsa," katanya kepada media semasa Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Edisi ke-10, di Teluk Likas, pada Ahad.
Pada perlumbaan itu, pasukan Bukit Sari Lawas muncul juara kategori C1 Piala Yang di-Pertua Negeri (800 meter) dengan catatan masa 3:38:55, menewaskan lapan pasukan lain dan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 ribu, piala serta medal.
Naib juara dimenangi pasukan Lautan Biru SLDB Dragon Boat Team Tuaran, manakala tempat ketiga Jetama Entulon Family DBT.
Sementara itu, Jetama Entulon Family Senior menjuarai kategori Piala Ketua Menteri Sabah (Lelaki, 800 meter) dengan catatan masa 3:41.09, sekaligus membawa pulang hadiah RM8,000 ribu, piala serta medal, tempat kedua pula pasukan Landas Kasihnya Warisan dan tempat ketiga Sri Sundar.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, diiringi Tan Sri Dr T.C. Goh dan Pengerusi Jawatankuasa Perlumbaan, Datuk Susan Wong Siew Guen.
Bagi kategori Piala Sabah FCAS Dragon (Terbuka Campuran, 800 meter), pasukan RMP Paddlers dinobatkan juara, diikuti DBKL dan Sabah River Raptors ITCC di tempat ketiga.
Manakala kategori Piala FCAS HZ (Tertutup Campuran, 800 meter), KKCCCI muncul juara, diikuti KK Hakka Association dan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).
Pasukan KKCCCI turut menjuarai kategori Piala FCAS (800 meter) Malaysian Chinese (Campuran Terbuka) manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Kuching Dragon Boat Club (KDB) dan KK Hakka Dragon Boat Team.
Kategori Piala Kinabalu Dragon (800m, Junior 15 hingga 20 Tahun) didominasi oleh pasukan Sibling Performance Team, diikuti Lentuong Junior SLDB Team dan Jetama Entulon Family Junior.
Bagi kategori Lelaki Terbuka (200m), PS Dragon Boat Team muncul juara, manakala Dragon Boat Club, CUHK memenangi kategori Campuran.
Pasukan Karapaw menjuarai kategori Piala Kinabalu Phoenix (Wanita Terbuka, 200m), dan PNK Master Dragon Boat mengungguli kategori Piala Kinabalu Master (Lelaki, 200m), diikuti DBKL dan Lela Cheteria.
Goh berkata penyertaan pasukan antarabangsa bukan sahaja memeriahkan pertandingan, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi negeri secara keseluruhan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)