![]() |
Pulau Sipadan. |
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 6.45 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan salah seorang daripada lapan penyelam dari pelbagai negara yang mengikuti aktiviti menyelam dikendalikan seorang jurulatih selam bersama empat juruselam lain.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 pagi apabila mangsa dipercayai turun ke laut tanpa kebenaran jurulatih dan dilihat dalam keadaan panik sebelum tenggelam. Salah seorang pemandu bot yang menyedari kejadian itu segera memaklumkan kepada jurulatih.
“Seorang juruselam telah menyelam ke dasar laut dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada kedalaman kira-kira 25 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sobri berkata, mangsa dibawa naik ke bot dan diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas selain menarik nafas panjang dan muntah.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan.
Beliau berkata, mangsa menyertai aktiviti menyelam itu bersama isterinya yang turut berada di atas bot semasa kejadian berlaku.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kertas siasatan telah dibuka. Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tawau pada 20 Mei jam 2 petang,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohammad Ali Bin Amat di talian 013-2120852 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.