![]() |
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Foto | Ihsan PDRM. |
Tawau: Seorang lelaki parah selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa membuat pusingan U secara cuai di Batu 8, Jalan Apas, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, mangsa berusia 53 tahun patah kaki kanan selepas motosikal Yamaha 135LC yang ditungganginya melanggar bahagian hadapan sebuah pikap jenis Nissan Navara dipandu seorang wanita berusia 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pikap terbabit datang dari arah Kampung Ranggu menuju ke Jalan Bunga Raya sebelum membuat pusingan U di lokasi kejadian.
“Ketika membuat pusingan U ke arah pusat bandar, pemandu wanita terbabit dipercayai tidak menyedari kehadiran motosikal yang datang dari arah Kebun Nasib Kita Balung, menyebabkan pelanggaran berlaku.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian hadapan pacuan empat roda itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, akibat kemalangan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Besar Tawau dan kini dirawat di Wad Ortopedik selepas disahkan mengalami patah kaki kanan.
“Pemandu wanita bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.
Polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.