KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini menegaskan bahawa bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah mencukupi dan tidak pernah berada di paras yang boleh menjejaskan operasi pengepaman oleh pihak universiti.
Pengarah JANS dalam kenyataan media berkata, air di Tangki R13 yang menjadi sumber utama bekalan air ke UMS berada pada paras normal dan melebihi keperluan harian universiti itu, yang dianggarkan hanya sekitar 5 juta liter sehari (MLD).
“JANS menasihatkan pihak UMS untuk memastikan operasi pengepaman air dijalankan secara optimum bagi memenuhi keperluan harian.
"Sekiranya pam sedia ada tidak lagi mampu menampung permintaan, adalah wajar untuk digantikan dengan pam yang berkapasiti tinggi atau lebih efisien,” katanya.
Menurutnya, JANS turut dimaklumkan bahawa pihak UMS kini sedang dalam proses membina tangki baharu dan memasang pam tambahan sebagai langkah jangka panjang bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang dihadapi kampus tersebut.
Dalam pada itu, JANS menegaskan komitmen berterusan mereka terhadap ketelusan, kecekapan teknikal, dan kerjasama profesional dengan UMS demi kesejahteraan para pelajar, staf universiti serta masyarakat sekeliling.
Terdahulu, masalah bekalan air di UMS telah menjadi perhatian sejak beberapa minggu lalu.