![]() |
Nizam(tengah) ketika ditemui media. |
TAWAU: Pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 masih belum dimuktamadkan setakat ini.
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang menjelaskan tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau menegaskan, dakwaan bahawa GRS akan bertanding di 52 kerusi manakala PH diperuntukkan 21 kerusi hanyalah spekulasi semata-mata.
“Selagi belum ada pengumuman rasmi daripada pucuk pimpinan, maka apa yang disebarkan itu adalah spekulasi politik menjelang pilihan raya.
“Ia adalah perkara biasa, namun perlu ditanggapi secara rasional supaya tidak menjejaskan tumpuan terhadap pembangunan dan perpaduan di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada Pesta Kebudayaan Hari Bergembira Etnik Tidung Borneo Sabah 2025, di sini, hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, sebarang keputusan rasmi berkaitan pembahagian kerusi akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pimpinan GRS dan PH.
“Saya yakin Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik Sabah.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan suara rakyat Sabah terus diberi perhatian, selain menekankan sentimen lokal agar kepimpinan negeri dipacu oleh anak jati Sabah yang arif akan budaya dan keperluan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji penganjuran pesta kebudayaan itu yang menurutnya mencerminkan kekuatan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Kepelbagaian budaya adalah aset utama Sabah yang perlu dipertahankan. Pesta seperti ini bukan sahaja meraikan warisan, malah memupuk jati diri dan semangat perpaduan.
“Saya berharap ia dapat dijadikan acara tahunan menerusi permohonan rasmi daripada pihak penganjur,” katanya.