KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya semula sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata amanah besar untuknya dalam memimpin PKR Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas keyakinan yang diberikan, sebagaimana yang dizahirkan oleh beliau, dalam meneruskan peranan kami dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikuan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, Mustapha turut berkata pihaknya akan memperkukuhkan haluan baru menerusi proses rundingan konstruktif bersama rakan sekutu dalam PH Sabah.
Menurutnya, ia aelaras dengan halatuju kepimpinan baharu dan aspirasi parti.
"Matlamat kami selaku anak- anak Sabah adalah untuk memperkasa hak dan pembelaan negeri demi memberi manfaat terbaik kepada rakyat Sabah.
"Kami menegaskan komitmen kami terhadap prinsip perpaduan, kemajuan dan reformasi, serta bertekad untuk terus menyumbang secara positif ke arah pembangunan dan kemakmuran Sabah di bawah gabungan PH serta membuka ruang kerjasama bersama parti-parti lokal dan nasional," katanya.