![]() |
Abdul Rahman. |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyangkal penjelasan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), semalam berkaitan status Tangki R13 dan operasi bekalan air ke yang dikatakan mencukupi untuk menampung keperluan warga kampus terbabit.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata berdasarkan pemantauan berkala oleh pasukan teknikal pihaknya didapati paras air di Tangki R13 tidak sentiasa berada pada tahap optimum.
Menjelaskan secara lanjut, katanya terdapat hari-hari tertentu di mana paras air berada di bawah tahap minimum sekaligus menyukarkan operasi pengepaman ke sistem bekalan dalaman kampus.
Susulan itu, pihaknya juga bersedia untuk mengemukakan maklumat terperinci termasuk bahan sokongan seperti surat berkaitan kekurangan bekalan air, notis pemakluman gangguan bekalan air serta gambar operasi lori untuk rujukan JANS.
"Pihak JANS menyatakan bahawa mereka menyalurkan air sebanyak 34 juta liter sehari ke tangki R13 (tangki ini adalah tangki yang dikendali oleh JANS dan sumber utama air yang dibekalkan ke UMS) dan ini sepatutnya mencukupi untuk UMS kerana keperluan UMS hanyalah lima juta liter sehari.
"Tangki R13 ini bukan eksklusif kepada UMS sahaja. Tangki R13 ini juga adalah sumber air kepada kawasan utara Kota Kinabalu termasuk di Sepanggar, KKIP, taman-taman perumahan dan Hospital Likas.
"Kawasan utara Kota Kinabalu adalah kawasan yang begitu pesat membangun dengan taman-taman perumahan dan kawasan industri baru. Ini bermakna bukan semua 34 juta liter sehari itu untuk UMS.
"Fakta menunjukkan bahawa UMS tidak dapat mengepam air dari tangki R13 ke UMS kerana bekalan air dalam tangki tersebut tidak mencukupi terutamanya waktu puncak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menjelaskan UMS mempunyai tiga pam untuk tujuan mengepam air dari tangki R13 ke seluruh kampus dan ia masih berfungsi dengan baik.
"Jadi masalah air di UMS ini bukan kerana sistem pam UMS yang tidak efektif, tetapi kerana aras air dalam tangki R13 tidak mencukupi untuk dipam.
"Walau bagaimanapun UMS dimaklumkan oleh Menteri Jabatan Kerja Raya Sabah bahawa bekalan air ke tangki R13 oleh JANS akan jauh bertambah baik dalam masa dua bulan ini.
"Kerja-kerja penyambungan paip dari loji rawatan air baru iaitu LRA Telibong 2 Fasa 2 ke kawasan utara Kota Kinabalu (termasuk UMS) yang telah bermula sejak tahun lepas dimaklumkan akan siap sepenuhnya.
"Saya yakin jika bekalan air dari loji rawatan air Telibong 2 fasa 2 (sekitar 80 juta liter sehari) sudah mula disalurkan, isu gangguan bekalan air di UMS yang menyebabkan keresahan dan tekanan emosi kepada pelajar-pelajar UMS selama ini akan selesai," katanya.
Disamping itu, beliau turut menjelaskan pihaknya juga telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi dan persediaan jangka sederhana bagi mengurangkan impak gangguan air di UMS.
Menurutnya ini termasuk pembinaan tangki imbangan baharu berkapasiti 3.5 juta liter sehari (MLD) lengkap dengan sistem pam baharu.
Selain itu, UMS turut melaksanakan penggunaan sumber alternatif seperti telaga tiub (tubewell) serta gihan air minuman berbotol dan penyediaan bantuan lori tangki air dengan kerjasama JANS.
"UMS amat menghargai komitmen JANS dalam mencari penyelesaian bersama secara profesional.
"UMS berpendirian bahawa penyelarasan teknikal yang lebih menyeluruh serta kerjasama strategik yang lebih erat perlu digembleng demi kepentingan bersama tetapi ianya perlu berasaskan fakta di lapangan," katanya.