Isu subsidi LPG: Kenyataan Junz Wong bermotif politik, cuba kelirukan rakyat - Armizan

Armizan (kiri), Junz Wong (kanan).  

KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berhubung isu pemansuhan subsidi gas petroleum cecair (LPG) disifatkan bermotifkan politik dan adanya percubaan untuk mengelirukan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata kenyataan dibuat Junz menerusi hantaran video dalam Facebook itu juga bersifat tuduhan terhadap kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disamping mengaitkan tentang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sehubungan dengan itu, Armizan menegaskan perkara yang dibangkitkan Junz bukan dibawah bidang kuasa kerajaan negeri sebaliknya ia dibawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

"Pada masa yang sama, sebagai wakil rakyat daripada Parti Warisan (WARISAN) yang menganggotai kerajaan Persekutuan, adalah tidak wajar Junz Wong sengaja mencalar imej Persekutuan dengan kenyataan mengelirukan sehingga ada pihak termasuk wartawan yang memahaminya sebagai isu pemansuhan subsidi LPG.

"Kenyataan ini dilihat cubaan mengelirukan rakyat kerana pertama, perkara yang disentuh bukanlah satu dasar atau peraturan baharu di bawah kerajaan Madani dan bukanlah pemotongan subsidi sebagaimana didakwa.

"Hakikatnya, hal ini terkait dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telahpun berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 di bawah pentadbiran kerajaan lalu.

"Kedua, apa yang beliau sebut sebagai notis tersebut bukanlah satu dokumen kompaun kesalahan tetapi merupakan dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis dimana ia merupakan dokumen standard yang akan diserahkan penguat kuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis berkaitan.

"Ini termasuk pemeriksaan pematuhan semua perundangan di bawah bidang kuasa KPDN yang berkaitan seperti pemeriksaan tanda harga, alat timbang sukat dan semakan Permit Barang Kawalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media pengumuman Skin Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bertempat di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan LPG, Armizan menjelaskan isu mengenainya oleh Junz adalah merujuk kepada Peraturan yang diwartakan pada 2021.

Katanya, dalam peraturan tersebut mengkehendaki mana-mana pihak yang menyimpan LPG di premis pada satu-satu masa melebihi kadar 42 kilogram (melebihi tiga tong LPG 14 kg) perlu untuk memohon Permit Barang Kawalan.

"Sehubungan itu, mana-mana pihak yang tidak menyimpan atau menggunakan melebihi had berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan Permit Barang Kawalan.

"Saya tidak fikir banyak kedai makan apatah lagi gerai makan atau gerai Ramly Burger yang beliau sebutkan perlu untuk menyimpan atau menggunakan tong LPG melebihi 42 kg pada satu-satu masa, melainkan premis perniagaan berskala besar.

"Junz Wong memainkan sentimen beban kos dipindahkan kepada rakyat, tanpa menyebut bahawa subsidi LPG ini juga datangnya daripada duit rakyat sendiri iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai.

"Adalah tidak wajar semua kos perniagaan termasuk perniagaan berskala besar ditanggung melalui duit rakyat," katanya.

Susulan itu, beliau meminta Junz untuk memberi maklumat terperinci kepada pihaknya mengenai kes spesifik mana-mana perniagaan yang perlu menggunakan LPG melebihi 42 kg.

"Kita boleh semak sama ada premis-premis perniagaan ini menjual barangan dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat pada harga yang berpatutan.

"Sekiranya kos sara hidup rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan subsidi duit rakyat digunakan untuk operasi perniagaan mereka.

"Perlu diingat, subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024. Ini adalah salah satu jenis subsidi kepenggunaan, bukannya subsidi perniagaan atau perdagangan," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama