Cubaan seludup 387 karton rokok bernilai lebih RM149,000 gagal

Rokok pelbagai jenama bernilai RM149,318.40 yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di kawasan bakau Kampung Puyut, awal pagi semalam.


LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama bernilai RM149,318.40 dalam satu serbuan di kawasan bakau Kampung Puyut, awal pagi semalam.

Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5.20 pagi itu dibuat hasil risikan dan pemantauan oleh pasukan PPM di lokasi berkenaan.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan, sebelum menjalankan serbuan.

Katanya, hasil serbuan menemui sebanyak 238 karton rokok jenama Astro Black Menthol dan 149 karton jenama A One Mild Menthol yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Rokok berkenaan disembunyikan di kawasan bakau bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Setakat ini, tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik barangan tersebut.

“Kesemua rokok yang dirampas itu disyaki belum lulus cukai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Nazri turut menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan yang menggugat keselamatan dan ekonomi negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama