Dua lelaki dicekup di Lapangan Terbang Tawau, syabu hampir RM90,000 dirampas

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin menunjukkan dadah yang rampas daripada dua suspek terbabit.

TAWAU: Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup dan mengedar dadah jenis syabu seberat 2,493.45 gram bernilai kira-kira RM87,000 melalui Lapangan Terbang Tawau (LTT) tumpas apabila mereka dicekup polis, Sabtu lalu.

Lebih mengejutkan, sindiket pengedaran dadah terbabit dikesan menggunakan taktik licik menyembunyikan dadah dalam kotak biskut dan paket minuman yang disorok dalam bagasi penumpang bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua suspek lelaki tempatan masing-masing berusia 44 dan 21 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan antara jam 9.25 malam hingga 10.15 malam di lapangan terbang itu hasil maklumat dan risikan.

Menurut beliau, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 44 tahun berbangsa Cina yang kelihatan mencurigakan di kawasan terminal LTT sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui sekeping pas masuk pesawat AirAsia AK5751 dan sebuah alat ‘vacuum sealer’ yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

"Susulan maklumat daripada tangkapan pertama membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 21 tahun sebaik tiba dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan Batik Air.

“Pemeriksaan ke atas beg merah milik suspek kedua menemukan bungkusan dadah jenis methamphetamine seberat 2,493.45 gram disorok dalam kotak biskut dan paket minuman sebagai taktik penyamaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jasmin berkata polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek adalah ahli sindiket pengedaran dadah yang telah lama aktif di daerah ini dan menyasarkan pasaran di Tawau serta kawasan sempadan negara jiran.

"Siasatan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Suspek kedua pula mempunyai dua rekod berkaitan perjudian dan penipuan serta turut disenaraikan sebagai individu dikehendaki (WANTED) oleh pihak berkuasa sebelum ini," ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua mereka kini direman tujuh hari sehingga 25 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tegas beliau lagi, pihaknya kini sedang giat mengesan rangkaian lain dalam sindiket berkenaan dan beberapa tangkapan susulan dijangka dibuat dalam masa terdekat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama