![]() |
Limus ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Jelajah I-Hijau 2025 Kuala Penyu bertempat di Dewan Dato Shahbandar Makang. |
KUALA PENYU: Kerajaan negeri menyarankan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengamalkan amalan atau tindakan yang menyokong kelestarian alam sekitar menerusi pendekatan Amalan Hijau dalam pembangunan di daerah masing-masing.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury berkata PBT dibawah kendalian Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah adalah penggerak dalam merancang dan menyelaras pembangunan landskap yang lebih teratur.
Menurutnya, PBT merupakan tunjang dan menjadi indikator pelaksanaan program atau projek yang memfokuskan usaha ke arah pembangunan landskap lestari.
Susulan itu, selaras dengan usaha tersebut, beliau menyarankan PBT menggunakan pendekatan Amalan Hijau dalam merangka pembangunan di daerah disamping ia juga mengurangkan kesan negatif terhadap bumi
"Usaha ini adalah untuk memelihara sumber semula jadi disamping menekankan konsep ekonomi kitaran yang lestari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jelajah I-Hijau 2025 Kuala Penyu bertempat di Dewan Dato Shahbandar Makang, di sini, semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Penyu, Nelson Domil Oluk, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu, John Genchit dan Ketua Penolong Setiausaha (Landskap) KKTP, Nurulhayati Awang More.
Dalam pada itu, Limus yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu itu turut berkata semua pihak termasuk rakyat daerah ini mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kelestarian generasi sekarang dan pada masa hadapan.
"Kita percaya bahawa kunci untuk menyelesaikan krisis iklim adalah terletak pada pengurangan pelepasan gas karbon dioksida dan mengtransformasi masyarakat bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
"Seluruh warga Kuala Penyu perlu menanam nilai-nilai positif dalam memastikan kelestarian daerah ini terpelihara dan terjaga.
"Sikap suka membuang sampah dan sisa dari kereta ke jalan adalah harus dibendung dan diubah sama sekali.
"Amalan budaya bersih dan menjaga keindahan persekitaran daerah adalah selaras dengan halatuju daerah ini dan transformasi kearah menjadi pusat pelancongan yang baru di negara ini," katanya.