Ketua Menteri berkata pemerkasaan wanita adalah penting bukan sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan wanita tetapi untuk kemajuan keseluruhan masyarakat. |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ingin melihat lebih ramai wanita terus diperkasakan melalui program-program yang berkesan yang memberikan mereka kemampuan untuk membuat pilihan dan terlibat dalam membuat dasar dan keputusan.
“Yang lebih penting, saya mahu wanita mempunyai akses kepada peluang, termasuklah pemerkasaan seperti dalam ekonomi, pendidikan, dan politik untuk membolehkan wanita membuat pilihan yang memberi impak positif kepada kehidupan mereka dan keluarga mereka,” katanya.
Berucap semasa majlis angkat sumpah ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di Menara Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata pemerkasaan wanita adalah penting bukan sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan wanita tetapi untuk kemajuan keseluruhan masyarakat.
“Pemerkasaan wanita akan membawa kepada hasil ekonomi yang lebih baik, keluarga yang lebih sihat, dan komuniti yang lebih adil. Tetapi ini memerlukan usaha kolaboratif daripada semua - kerajaan, organisasi, dan individu untuk mewujudkan persekitaran inklusif di mana wanita boleh mencapai kemajuan.
“Oleh itu, saya berharap ahli MPWS yang baharu dilantik ini akan dapat menjadi sebahagian jentera kerajaan dalam mengoptimumkan penglibatan wanita dalam pelbagai aspek bagi melahirkan wanita yang berilmu dan hebat yang boleh membawa nama negeri Sabah kepersada antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata peranan dan kepentingan wanita sebagai modal insan yang menjana pembangunan negeri semakin jelas.
“Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan membantu kerajaan dalam melahirkan wanita yang berilmu pengetahuan. khususnya dalam menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang memerlukan nilai-nilai kreativiti dan inovasi,” katanya.
MPWS ditubuhkan sebagai badan penyelaras dan penasihat kepada kerajaan Negeri serta pengantara kerajaan Negeri dan organisasi wanita bukan kerajaan.
“Tugas MPWS termasuk melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat kepada kaum wanita Sabah di peringkat negeri, nasional, dan antarabangsa, antara lainnya.
“Oleh itu, bagi mereka yang dilantik memegang jawatan di MPWS, adalah satu penghormatan bahawa anda telah dipilih dan diberi amanah dalam peranan kepimpinan untuk memastikan wanita di Sabah akan mendapat manfaat daripada dasar dan program kerajaan melalui MPWS,” katanya.
Hajiji berkata MPWS turut memainkan peranan penting untuk bertindak sebagai badan pemikir, pemangkin dan saling bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di negeri ini.
“Saya maklum dibawah MPWS ini, sebanyak tujuh jawatankuasa kecil telah diwujudkan iaitu Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita & Media, bagi memajukan pembangunan golongan wanita di negeri ini.
“Saya mahu supaya JHEWA yang bertindak sebagai sekretariat MPWS, akan memainkan peranan dalam membantu pelaksanaan program-program yang dirancang oleh MPWS meliputi jawatankuasa kecil yang diwujudkan. Ini amatlah penting demi memperkasakan dan meningkatkan martabat wanita di Sabah.
“Saya juga berharap kepada semua ahli-ahli Majlis Penasihat yang baharu dilantik ini, supaya dapat menetapkan hala tuju MPWS dalam mensejahterakan rakyat melalui jawatankuasa yang ada,” katanya.
Mengetuai upacara angkat sumpah ahli baharu MPWS ialah pengerusi, Datuk Dr Hajah Rosmahwati Lasuki. Ahli-ahli baharu MPWS adalah Datin Hajah Fauziah Datuk Abu Bakar Titingan, Jais Asri, Prof Ts Dr Imbarine Bujang, Viviantie Sarjuni, Dayang Selha Ibrahim, Nor Saadah Omar, Nor Azah Abd Rahman dan Datin Atin Belynda Buntot.