![]() |
Christina (dua kiri) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU : Orang ramai dari seluruh negara dijemput hadir memeriahkan festival kebudayaan ikonik, Regatta Lepa 2025 yang akan berlangsung di Semporna dari 14 hingga 29 Jun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata acara penutup yang dijadualkan pada 29 Jun itu akan menjadi kemuncak sambutan dengan pelbagai persembahan kebudayaan serta perarakan lepa berhias.
"Regatta Lepa kali ini menjanjikan pengalaman kebudayaan yang lebih meriah dengan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa serta tetamu kenamaan yang dijangka hadir untuk menyatakan sokongan terhadap usaha memartabatkan budaya tempatan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, pada Selasa.
Kunjungan tersebut bertujuan menjemput Tun Musa hadir ke Majlis Penutupan Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-30.
Beliau turut mengajak masyarakat agar tidak melepaskan peluang menyaksikan keunikan warisan budaya masyarakat Bajau yang menjadi kebanggaan daerah Semporna.
"Ini adalah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga dan menikmati suasana kebudayaan yang penuh warna-warni dan kaya nilai tradisi, yang jarang didapati di tempat lain,” tambahnya.
Menurutnya, pelbagai program menarik turut disusun sepanjang festival dua minggu itu termasuk persembahan tarian tradisional, pertandingan lepa berhias serta aktiviti komuniti melibatkan penduduk tempatan.
“Kami yakin Regatta Lepa akan terus menjadi antara tarikan utama pelancongan Sabah. Kami juga berharap pelancong baharu dan pengunjung setia akan turut serta tahun ini,” jelas beliau.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kelancaran sepanjang tempoh festival, yang bukan sahaja mengangkat budaya Bajau ke peringkat antarabangsa, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, dan Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)