Lelaki dicekup ketika bawa 2,500 liter CPO tanpa kebenaran

Lori dan muatan yang dirampas.


SANDAKAN: Seorang lelaki warga tempatan diberkas selepas didapati membawa minyak sawit mentah (CPO) tanpa kebenaran di kawasan Batu 25, Kampung Garinono, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim memaklumkan, penahanan suspek dibuat sekitar jam 4 petang hasil maklumat risikan yang diterima pihaknya.

Katanya, ketika rondaan rutin dijalankan, pasukan PPM Sandakan mengesan sebuah lori berwarna putih yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kampung terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori terbabit merupakan lelaki berusia 28 tahun dan menemui enam tangki berisi 2,500 liter minyak sawit mentah serta sebuah pam minyak di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan pemilikan atau pemindahan bahan berkenaan.

“Lori dan muatan dirampas, manakala lelaki itu turut dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM143,000 dan kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998," katanya

Mohd Nazri berkata, PPM komited membanteras kegiatan penyeludupan yang memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

“Usaha pencegahan akan terus dipertingkatkan termasuk rondaan berkala di kawasan berisiko tinggi. 

" Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama