39 PATI ditahan serbuan kilang di Papar dan Kota Kinabalu

Sumber media sosial rasmi Jabatan Imigresen (JIM) 
KOTA KINABALU: Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang digerakkan di dua lokasi berasingan di daerah Inanam dan Papar, pagi tadi.

Dalam "Ops Gempur" yang bermula pada jam 10 pagi itu melibatkan seramai 70 pegawai pelbagai pangkat dan dilaksanakan di dua lokasi, iaitu kilang perabot di Inanam serta sebuah kilang pemprosesan bata di Papar.

Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Siti Saleha Habib Yussof, seramai 353 individu telah diperiksa dalam operasi tersebut, dan seramai 39 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan.

"Daripada 353 individu yang diperiksa, 39 orang dewasa lelaki berusia antara 20 hingga 45 tahun disyaki tidak mempunyai dokumen sah dan menyalahgunakan pas.

"Mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Kesemua individu yang ditahan dipercayai warga Filipina dan Indonesia.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tambah Siti, sebanyak 90 peratus daripada individu yang diperiksa hari ini mempunyai dokumen pengenalan diri sah termasuk MyKad dan pasport.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa JIM Sabah telah melaksanakan 74 kali pengusiran PATI sejak Januari tahun ini, melibatkan jumlah keseluruhan seramai 5,926 orang.

"Daripada jumlah itu, seramai 140 PATI dihantar pulang ke negara asal melalui udara, manakala 5,786 orang lagi diusir menggunakan laluan laut," jelasnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama