‘Kita pertahan kerajaan sekarang GRS-PH, itu asas kita’ - Hajiji


KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal dengan pendirian mereka untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi mendepani Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijadualkan berlangsung bila-bila masa sahaja tahun ini.

Susulan itu, Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan pihaknya akan mempertahankan kerajaan yang kini diterajui GRS-PH Plus.

"Kita mahu kerjasama, kita pertahan kerajaan sekarang GRS-PH, itu asas kita. Kita telah sampaikan (pendirian mengenai kerjasama GRS-PH) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu–Labuan bertempat di Pelabuhan Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut ditanya pemberita mengenai perkembangan jalinan kerjasama bersama parti lain dalam menghadapi PRN17.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan belum ada sebarang perbincangan dilakukan berhubung perkara terbabit.

"Lain-lain (perkara) kita akan berbincang. Belum lagi pilihan raya (PRN17 berlangsung), bubar (Dewan Undangan Negeri) pun belum, jadi sabar saja. Tunggu nanti saya akan beritahu," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama