![]() |
Syahruddin. |
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) disifatkan berpotensi untuk membentuk pakatan ideal bagi menguasai kedua-dua kawasan pantai barat, sebahagian pedalaman bawah dan pantai timur Sabah dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata terdapat kemungkinan pucuk pimpinan gabungan dan parti politik terbabit telah melihat dan mempertimbangkan peluang keemasan tersebut.
Menurutnya, ini khususnya dalam rangka pelan penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) agar dapat mendominasi PRN17 bagi memperoleh mandat secara majoriti mudah.
"GRS juga akan merealisasikan hasrat bergabung dengan WARISAN sekiranya perundingan berkaitan agihan kerusi DUN yang ditandingi adalah secara strategik yakni masing-masing akan memastikan kubu kuat dijaga dengan rapi.
"Dalam masa yang sama menambah bilangan kerusi DUN dengan menyasarkan beberapa kawasan yang berstatus 50-50 dan kerusi campuran.
"Kedua-dua GRS dan WARISAN juga secara senada boleh mengukuhkan keyakinan rakyat Sabah amnya dan para pengundi baru serta atas pagar terhadap impian 'Sabah for Sabahan' kerana kedua-dua parti adalah parti tempatan," katanya ketika dihubungi Sayang Sabah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata misi untuk mendapat mandat daripada rakyat Sabah mampu dicapai.
Katanya, ia berpotensi menjadi kenyataan sekiranya GRS dan WARISAN dapat menawarkan janji bahawa gabungan terbabit mampu menandingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak ke arah kerajaan negeri yang diterajui oleh parti tempatan.
"Apa yang penting adalah kaedah untuk menerapkan mesej 'Sabah for Sabahan by Sabahan local parties' dalam gerak kerja kempen jelas dan sampai kepada sasaran akar umbi yang bakal memberikan undi kemenangan kepada gabungan tersebut," katanya.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi PRN17.
Pengumuman terbabit telah menimbulkan pelbagai reaksi dari pelbagai pihak termasuk parti komponen yang bernaung dibawah gabungan PH.
Reaksi yang diterima menjadi semakin 'rancak' apabila Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengumumkan agihan sebanyak 40 kerusi untuk BN dan baki 33 kerusi untuk PH pada PRN17 yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.