![]() |
Joachim ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti berada dalam kedudukan 'pemandu' yang mengemudi sebarang bentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Timbalan Pengerusi GRS merangkap Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pihaknya juga tidak mempunyai masalah untuk berbincang mengenai jalinan kerjasama selagi mempunyai majoriti keseluruhan.
"Selagi GRS mempunyai majoriti keseluruhan, kemudian kita akan berkolaborasi dengan parti lain. Apa yang penting adalah GRS mesti berada di kedudukan pemandu.
"Mereka (parti politik lain) boleh datang (bertanding dalam PRN17) kerana ini adalah negeri yang bebas dan demokratik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, kelmarin.
Ia merupakan maklum balas pihaknya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menuntut sekurang-kurangnya 13 kerusi dalam PRN17 Sabah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Joachim turut ditanya pemberita mengenai kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Azmin Ali telah mengenal pasti kerusi yang ditandingi dalam PRN17 Sabah.
Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata walaupun belum ada sebarang perbincangan agihan kerusi bersama mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) namun pihaknya juga tidak ada sebarang halangan sekiranya gabungan itu ingin bertanding di Sabah.
"Saya tidak pasti dan sejauh yang saya tahu, kita belum lagi bercakap atau berbincang bersama-sama. Walaupun PN, tidak ada perbincangan yang khusus (diadakan).
"Jadi, jika semua ingin datang, kita akan adakan pertandingan yang mesra. Kalau boleh, jika GRS dapat memenangi kedudukan tanpa pertandingan lagi bagus. Tetapi, saya tidak fikir (akan berlaku) begitu," katanya.