![]() |
Ketua Menteri Sabah bersama kenamaan lain memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah di Masjid Negeri, Kota Kinabalu pada Rabu. |
KOTA KINABALU: Majlis penghormatan terakhir bagi bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Allahyarham Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah berlangsung dalam suasana penuh hiba dan penghormatan di Masjid Negeri pada Rabu.
Jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman keluarga di Taman Likas Jaya kira-kira jam 10.00 pagi dan disambut oleh ahli keluarga, kenalan rapat, serta para pemimpin negeri dan rakyat yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, SS Datuk Ustaz Haji Bungsu@Aziz Haji Jaafar selepas solat Zohor, sebelum jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut hadir memberi penghormatan terakhir dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Hadir sama memberi penghormatan terakhir ialah mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir.Shahelmey Yahya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri PanglimaSr.Haji Safar Untong dan kenamaan lain.
Sebagai tanda penghormatan, Kerajaan Negeri turut mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut.