TAWAU : Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menunggang motosikal secara berbahaya serta tanpa lesen dan perlindungan insurans yang sah.
Tertuduh yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja itu didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya kepada orang awam di Jalan Chong Thien Vun, kira-kira jam 11.30 malam pada 10 Mei lalu.
Dua lagi pertuduhan melibatkan kesalahan menunggang tanpa lesen memandu yang sah dan tanpa perlindungan insurans pada masa dan lokasi yang sama.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1), Seksyen 26(1), dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Asisten Superintenden Joan Lee dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM700 bagi ketiga-tiga pertuduhan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 24 Julai dan kes akan didengar semula di Mahkamah Kanak-Kanak.
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan remaja berkenaan melakukan aksi ‘wheelie’ sebelum terbabas dan terjatuh di tepi jalan.
Sementara itu, di mahkamah sama dua lelaki warga asing masing-masing didenda RM7000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kemalangan Mac lalu.
Tertuduh Gu Meng, 21, seorang jurutera warga China dan Riduan Ibuan, 39, Pemastautin Sementara warga Indonesia, masing-masing disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Majistret Dayang Aidaku Amira turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikenakan hukuman penjara selama tempoh lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, Gu Meng turut dijatuhi hukuman denda RM300 selepas mengaku salah atas satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 90(1) Akta sama iaitu kesalahan kenderaan dipandunya tiada perlindungan polisi insuran.
Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam.