Lelaki warga asing dipenjara 18 bulan bersalah memandu cuai


TAWAU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Tertuduh, Zulfikar Zul Akmat, 22, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin atas kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tanpa cermat dan perhatian sepenuhnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memandu sebuah kenderaan sehingga terbabas sendiri dalam kejadian di simpang Jalan Mawar, kira-kira jam 5.53 pagi pada 19 Januari lalu, mengakibatkan tiga penumpangnya cedera.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi kesalahan itu.

Zulfikar turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu tidak memiliki lesen memandu mengikut Seksyen 26(1), APJ 1987, serta memandu tanpa perlindungan insurans sah mengikut Seksyen 90(1), APJ 1987.

Bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, mahkamah mengenakan hukuman tiga bulan penjara bagi setiap kesalahan, dan memerintahkan semua hukuman berjalan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 18 bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia sebaik selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama