Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-72 TYT mulai 14 Jun ini

Joachim ketika ditemui media.

KOTA KINABALU:  Tujuh acara diatur sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-72 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bermula 14 Jun ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkata, program-program berkaitan telah diatur bagi mengisi sambutan majlis berkenaan.

"Tahun ini kita cuma ada tujuh acara atau tujuh program yang setiap tahun kita laksanakan.

"Yang pertama pastinya pada 14 Jun nanti kita ada jamuan teh bersama-sama dengan kanak-kanak istimewa.

"Selepas itu pada 15 Jun, kita akan adakan hari Etnik Sabah. Sebab kita percaya Tun selaku TYT dia adalah payung pada seluruh rakyat di Sabah jadi itu untuk meraikan semua rakyat di Sabah.

"Selepas itu, pada 19 Jun kita ada tahlil, doa selamat dan seperti biasa pada 21 Jun kita akan adakan istiadat perbarisan, Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat Kebesaran Sabah dan Majlis Santapan Negeri pada sebelah malam," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Menurutnya, Sambutan Hari Etnik Sabah yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)  bakal menghimpunkan hampir keseluruhan etnik di negeri itu dengan jangkaan kehadiran lebih dari 1,000 pengunjung. 

Hadir sama, Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Jumain Abdul Ghani.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama