LAHAD DATU: Sebanyak 61 tan isirung sawit yang disimpan tanpa permit sah dirampas dalam satu serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di sebuah premis tidak bernombor di Jalan POIC, awal pagi semalam.
Serbuan kira-kira jam 3.10 pagi itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 39 dan 48 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pemindahan bahan komoditi berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota Task Force PPM bersama wakil Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati dua lelaki sedang leka memindahkan isirung sawit dari dua lori treler ke dalam premis menggunakan dua unit jentolak.
“Pemeriksaan lanjut menemukan longgokan isirung sawit, sebuah bunker berisi isirung serta satu unit timbangan lengkap di premis terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada MPOB bagi urusan pemindahan dan penyimpanan bahan tersebut.
“Keseluruhan rampasan termasuk 61 tan isirung sawit, dua lori dan dua jentolak dianggarkan bernilai RM2,001,500.
“Semua rampasan bersama suspek dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PPLMSM) 2005 kerana menyimpan isirung kelapa sawit tanpa lesen.